Sunday 23 September 2012

BMM3101


 


1.0   PENGENALAN

 

Proses pendidikan di Malaysia merupakan usaha untuk membantu individu menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan.  Pendidikan juga memberi peluang individu mengembangkan bakat, potensi dan kebolehan mereka untuk mencapai kesejahteraan diri seterusnya dapat menyumbang tenaga dan buah fikiran ke arah keharmonian negara.

 

Sejajar dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan perpaduan rakyat maka, golongan pendidik diberi tanggungjawab dan kepercayaan melaksanakan tugas ini.  Berdasarkan sukatan pelajaran yang disediakan yang mengandungi objektif khusus dan Organisasi Kandungan Sukatan Pelajaran, diharapkan institusi pendidikan yakni sekolah dapat melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, emosi, jasmani, rohani dan sosial selaras dengan kehendak dan cita-cita Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

 

Melalui Kandungan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu (2003), murid-murid dilatih menguasai kecekapan berbahasa dan berkomunikasi, mengembangkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis.  Kebijaksanaan guru dalam memilih, menyusun dan merancang pengajaran dan pembelajaran akan menentukan sama ada hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan tercapai atau tidak.  Faktor  kesediaan guru dan keberkesanan dalam proses pengajaran dan pembelajaran mempengaruhi kejayaan kerana melalui sukatan pelajaran, akan lahirlah insan yang diharapkan iaitu berilmu pengetahuan, berketerampilan, berdaya saing, berakhlak mulia dan berupaya mencapai kesejahteraan diri bagi menghadapi dunia yang sentiasa berubah.

2.0   KONSEP DAN PENGERTIAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN DAN SUKATAN PELAJARAN.
kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan Negara” 

b)   Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu


a) Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Menurut Kamus Dewan, falsafah ialah pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu tertinggi atau sebagai dasar kepada ilmu-ilmu lain. Falsafah Pendidikan Kebangsaan merupakan landasan serta hala tuju kepada institusi pendidikan. Bertujuan untuk melahirkan generasi yang berfikiran kelas pertama yang akan membangunkan negara.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan ( FPK ) adalah seperti berikut:

“ Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusanke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai


Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu merupakan satu garis panduan atau dokumen yang digunakan oleh guru bagi merancang dan melaksanakan pengajaran.  Di dalamnya terkandung matlamat, objektif, pengisian kurikulum, kemahiran bahasa dan Kemahiran Bernilai Tambah.  Pengajaran dan pembelajaran mengambil kira aspek-aspek di atas bagi mempastikan ianya seragam, terkawal dan sistematik.

Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu pula memperincikan sukatan pelajaran yang memperjelaskan hasil pembelajaran yang perlu dikuasai oleh murid.  Hasil pembelajaran mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan cita-cita murni Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani.

Guru perlu bijak memilih, menyusun dan mengolah aktiviti mengikut kesesuaian dan kebolehan murid. Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu diharapkan dapat membantu guru merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara berkesan melalui elemen-elemen penting iaitu kemahiran berbahasa, konsep 5p, pengisian kurikulum dan kemahiran bernilai tambah. 

3.0   UNSUR-UNSUR PENTING DAN HUBUNGAN DENGAN SUKATAN  

PELAJARAN BAHASA MELAYU.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan merupakan dokumen rasmi dalam sistem pendidikan di Malaysia.  Falsafah Pendidikan Kebangsaan mempunyai cita- cita murni untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani.  Justeru, setiap insan yang bergelar pendidik perlu memahami dan menghayati unsur-unsur penting FPK agar tindakan dan perlakuan mereka berada di landasan yang betul selaras dengan kehendak FPK.

Untuk melahirkan modal insan yang seimbang, selaras dengan kehendak FPK, guru-guru perlu menyempurnakan tanggungjawab mereka melalui proses pengajaran dan pembelajaran.  Justeru, Kementerian Pelajaran telah menggubal kurikulum yang mempunyai hala tuju yang sama dengan FPK.  Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu yang digubal diharapkan dapat memberikan impak besar kepada lahirnya insan yang berilmu pengetahuan, beketrampilan, berakhlak mulia,  bertanggungjawab dan berupaya mencapai kesejahteraan diri. Hasrat ini dapat dicapai melalui program bersepadu, perubahan input pelajaran dan penyerapan nilai-nilai murni.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga memberi penekanan terhadap perubahan sikap pendidik dan profesional semasa bertugas agar dapat merealisasikan tujuan dan dan dasar sebenarnya.  Perubahan sikap pendidik dapat dicapai melalui sikap peribadi guru yang sentiasa berpandangan jauh dan misi serta visi yang positif. 

Matlamat mata pelajaran Bahasa Melayu untuk melahirkan murid yang berketrampilan berbahasa dan menghayati Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, bahasa perpaduan, bahasa ilmu adalah sejajar dengan semangat Rukun Negara dan hasrat FPK.  Melalui mata pelajaran Bahasa Melayu dan sukatan pelajaran yang digubal, usaha untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu dapat capai. 

Falsafah Pendidikan Kebangsaan bergerak seiring dan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain dengan Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia yang digubal oleh Kementerian Pelajaran bagi menjadikan sistem pendidikan di Malaysia cemerlang,gemilang dan terbilang.  Kedua-duanya mempunyai hubungan yang sangat rapat khasnya dalam beberapa aspek.  Antaranya:
a)    Intelek

Intelek menujuk Kamus Dewan bermaksud kemampuan(daya) berfikir dan memahami(menganalisa), akal budi, golongan-golongan cerdik pandai, golongan cendikiawan, golongan terpelajar.  Seseorang yang berintelek merupakan orang yang mempunyai daya pemikiran yang kreatif dan inovatif, berfikiran logik dan mempelajari serta memanfaatkan ilmu yang diperolehi untuk menyampaikan kebenaran dan kepada perkara yang berfaedah.

Bahasa Melayu memainkan peranan yang penting untuk melahirkan insan yang mampu berfikir dan menganalisis secara kritis.  Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu mengandungi kemahiran-kemahiran bahasa dapat merealisasikan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bertujuan melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek.  Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu melalui kemahiran-kemahiran bahasa iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis akan dapat menjadikan murid-murid berfikiran kreatif dan kritis.  Melalui aktiviti-aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan oleh guru melalui kemahiran bertutur misalnya, akan dapat memupuk minat berinteraksi dengan pelbagai persekitaran. 

Dalam kemahiran menulis pula, murid akan berfikir untuk mencari idea atau isi tentang tajuk karangan yang diberi.  Secara tidak langsung, melalui sukatan pelajaran guru telah berjaya melahirkan pelajar yang berilmu pengetahuan kerana aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan melalui kemahiran bahasa akan menggalakkan murid menjana idea dan pendapat,berfikiran terbuka dan seterusnya menggunakan ilmu yang diperolehi untuk membangunkan masa depan negara.
Dalam usaha melahirkan manusia yang berintelek ini, guru-guru perlulah menjadi perancang dan pelaksana yang bijak menggunakan pelbagai kaedah, teknik, strategi dan pendekatan agar pengajaran bahasa berkesan dan bermakna. 

b)   Akhlak

Akhlak merangkumi kelakuan, adab sopan, budi pekerti, sahsiah dan perwatakan yang baik.  Semua agama di negara kita memelukan penganutnya mempunyai akhlak yang baik dan terpuji sejajar dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan.  Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu yang digubal juga diharapkan dapat merealisasikan aspek ini melalui elemen-elemen tertentu.

Penerapan nilai-nilai murni dalam pengajaran Bahasa Melayu merupakan satu usaha untuk menjadikan setiap murid mempunyai keperibadian akhlak yang mulia.  Contoh nilai- nilai murni yang diserap oleh guru semasa pengajaran ialah menghormati guru, tolong menolong, bekerjasama, bertanggungjawab terhadap amanah yang diberi dan lain-lain lagi.  Sekiranya nilai-nilai ini dipupuk setiap hari, ia akan menjadi sebati dalam diri setiap murid dan mereka mengaplikasikan nilai ini di mana-mana dan inilah antara tujuan FPK iaitu memiliki rakyat Malaysia yang berakhlak mulia.

c)    Rohani

Menurut Kamus Dewan, rohani berkait rapat dengan jiwa.  Aspek kerohanian merupakan salah satu lagi unsur terpenting Falsafah Pendidikan Kebangsaan.  Tindak tanduk seseorang sama ada dalam perkara baik atau jahat bergantung kepada kekuatan dalaman atau jiwanya.  Melalui Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu, murid-murid akan diasuh jiwa mereka agar sentiasa bersih dan kuat dan menolak perkara-perkara negatif yang akan merugikan diri,  keluarga, masyarakat dan negara. 

Konsep penggabungjalinan mata pelajaran yang terkandung dalam sukatan pelajaran diharapkan dapat mencapai hasrat murni FPK kerana ilmu berkaitan kerohanian seperti Pendidikan Agama Islam, Pendidikan Moral diajar secara gabungjalin semasa mata pelajaran bahasa diajar.  Guru-guru akan memasukkan nilai-nilai kerohanian seperti tidak boleh mencuri, memeras ugut, mengambil dadah dan sebaliknya seseorang itu perlu bersyukur atas nikmat kurniaan tuhan, mewujudkan nilai kasih sayang sesama manusia dan sebagainya.  Jika nilai kerohanian ini disemai dan ditanam di dalam jiwa murid-murid sejak awal lagi, maka negara kita akan dibangunkan dan dimakmurkan oleh generasi yang mulia jiwa raganya sejajar dengan cita-cita FPK.

d)   Jasmani

Unsur lain yang terkandung dalam FPK disebut sebagai jasmani.  Aspek fizikal murid harus dititikberatkan kerana tubuh yang sihat akan mempengaruhi otak yang cerdas.  Justeru, proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu diselitkan pengajaran Pendidikan Kesihatan supaya setiap pelajar dapat mempraktikkan elemen-elemen kesihatan dalam kehidupan seharian.  Sebagai contoh, dalam pengajaran bahasa guru menyampaikan tajuk-tajuk yang berkaitan dengan penjagaan diri, kebersihan diri, pengambilan makanan kesihatan atau seimbang dan sebagainya.  Secara tidak langsung, murid akan didedahkan dengan penjagaan fizikal mereka dan mempraktikkan tips kesihatan dalam kehidupan.  Dengan ini maka, lahirlah insan yang sihat tubuh badan dan cergas fikiran yang akan memenuhi hasrat FPK yang memerlukan generasi yang berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri untuk membangunkan keharmonian dan kesejahteraan negara.
e)    Sosial

Sosial berkait rapat dengan hubungan seseorang dengan masyarakat.  Menurut Kamus Dewan, sosial bermaksud segala yang berkaitan dengan masyarakat.  Unsur penting dalam FPK ini dapat direalisasikan melalui penggubalan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu oleh Kementerian Pelajaran.  Kemahiran bertutur yang terkandung dalam sukatan pelajaran telah menjadi platform kepada kehendak FPK iaitu melahirkan insan yang seimbang dari segi sosialnya.  Golongan pendidik merupakan amanah negara yang akan mempastikan tahap sosial murid berkembang sejajar dengan intelek, emosi, rohani dan jasmani. 
Dalam kemahiran lisan iaitu mendengar dan bertutur, murid-murid diajar dan digalakkan bergaul mesra, berinteraksi dengan rakan sebaya dan persekitaran melalui aktiviti-aktiviti seperti perbincangan, simulasi, lakonan, main peranan dan sebagainya.  Aktiviti seumpama ini dapat melatih murid berkomunikasi dengan persekitaran bermula dari rakan sebaya hinggalah kepada masyarakat yang lebih besar.  Secara tidak langsung, murid akan menjadi lebih berani dan yakin dan akan wujudlah budaya sosial yang sihat dan bermakna.  Melalui sistem bahasa yang diajar dalam pengajaran dan pembelajaran, murid dapat menguasai tatabahasa yang baik dari segi kosa kata, sebutan, intonasi dan peribahasa dan diamalkan dalam kehidupan seharian untuk menjadikan komunikasi lebih berkesan.
f)     Nilai-nilai Estetik

Bahasa jika diolah, digayakan dan diiramakan akan lahirlah keindahan sesuatu bahasa itu.  Demikianlah juga dengan Bahasa Melayu boleh kita serlahkan nilai-nilai estetika ( keindahan ) melalui pengajaran puisi seperti pantun, sajak, syair, gurindam dan seloka.  Penggunaan gaya bahasa dalam sesuatu puisi itu akan indah jika ianya diolah dengan pelbagai bentuk penulisan dan penyampaian seperti mengarang puisi, mendeklamasikan sajak, berbalas pantun dan lain-lain lagi.  Melalui aktiviti ini, murid-murid dipupuk dengan semangat cintakan keindahan dan keamanan. 
Penggunaan gaya bahasa yang indah dan penuh dengan perlambangan akan mengajar murid-murid menghargai alam dan mensyukuri ciptaan Ilahi.  Nilai syukur ini akan menjadikan seseorang itu sentiasa berlaku adil sesama manusiadan membataskan perkara-perkara yang bercanggah dengan hukum alam.  Usaha murni FPK ke arah melahirkan modal insan yang boleh mencapai kesejahteraan diri untuk membangun keharmonian negara akan tercapai jika nilai-nilai estetika dapat dipupuk di kalangan pelajar sekolah.
        4.0   NOTA RINGKAS

 
4.1  Kemahiran-kemahiran Berbahasa

a)  Kemahiran Mendengar

     -   Merujuk kepada keupayaan murid mendengar, memahami dan

         menghayati apa yang disampaikan oleh penutur.

     -   proses memasukkan maklumat bahasa melalui telinga terus ke otak.

                       -  Memahami apa yang didengar dengan cara tersendiri dan memberi

                          tindakbalas terhadap maklumat yang didengar.

                       -  Latihan perlu untuk menjadi penutur yang baik.                                 

                        b) Kemahiran Bertutur

          -  Merujuk kepada keupayaan mengujarkan kata-kata, ucapan dan           

             percakapan secara lisan.

          -  Bermaksud menjalinkan hubungan, menzahirkan pendapat,  

             meluahkan perasaan, mengeluarkan buah fikiran, idea yang kreatif

             dan kritis.

          -  Menggunakan sebutan, intonasi dan gaya yang betul dan

             bertatasusila.

     c) Kemahiran Membaca

         -  Merujuk kepada keupayaan murid membaca dengan sebutan,

            intonasi, jeda dan kelancaran yang betul.

         -  Menekankan aspek pemahaman dan penaakulan.

         -  Melibatkan bahan sastera dan bukan sastera dan menggunakan

            pelbagai teknik bacaan.

         -  Merangkumi bacaan pantas, memahami dan boleh mengingati fakta

            yang dibaca.

          - Membaca memerlukan kemahiran mentafsir serta pemikiran yang

            tinggi untuk memahami makna daripada teks yang bercetak(

            Cohen,1990)

                 d)  Kemahiran Menulis

         -  Keupayaan murid meluahkan dan mempersembahkan idea melalui

            penulisan atau mencatat idea menggunakan lambang tulisan.

         -  Melibatkan proses menulis pelbagai jenis penulisan kreatif berkaitan

            dengan kehidupan seharian, pengalaman dan ilmu pengetahuan

            menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca, ejaan yang betul dan

            tulisan yang kemas dan jelas.

        4.2  Konsep 5P

       a)  Penggabungjalinan

            - Membantu guru memastikan murid menguasai beberapa kemahiran

              secara serentak.

            - menggabungjalin aspek tatabahasa, kosa kata dan peribahasa.

            - menggabungjalin sekurang-kurangnya antara dua kemahiran  

              berbahasa.

            - P&p lebih menarik dan guru mewujudkan suasana belajar yang  

              menyeronokkan.

            - Lebih banyak aktiviti disediakan dan penglibatan ramai murid.

       b)  Penyerapan

           - Melibatkan penyerapan pelbagai bidang ilmu, nilai dan kemahiran  

             bernilai tambah.

          - Dilakukan secara terancang.

          - Diserap secara tidak langsung.

 

     c)  Pengayaan

          - Merupakan aktiviti tambahan kepada murid yang telah menguasai

            kemahiran asas.

          - Terdiri daripada aktiviti mencabar.

          - Mengandungi unsur-unsur untuk meluaskan ilmu pengetahuan,  

            memperkembangkan pengalaman dan kemahiran yang sedang               

            dipelajari.
 
         - Berbentuk bebas

         - Memberi peluang kepada murid untuk kembangkan minat, kreativiti,

           sikap ingin tahu berdikari dan melatih murid membuat keputusan untuk

           diri, kumpulan dan masyarakat.

      d)  Pemulihan

          - Menyediakan aktiviti untuk murid-murid yang mempunyai tahap

            penguasaan yang lemah dan lembab terhadap sesuatu kemahiran.

         - Proses membantu murid memperbaiki kelemahan.

         - Aktiviti pemulihan sangat terbatas dan lebih khusus.

 
     e)  Penilaian

          - Proses yang sistematik untuk mendapat maklumat bagi menilai tahap  

            pencapaian dan prestasi murid.

         - Bertujuan untuk melihat sejauhmana objektif tercapai.

         - Merupakan sebahagian daripada proses pengajaran dan

           pembelajaran.

         - Terdapat dua bentuk penilaian iaitu formatif dan sumatif.

         - Tindakan susulan dibuat selepas penilaian iaitu pemulihan atau

           pengayaan.

 
  4.3  Pengisian Kurikulum
 

a)    Ilmu

-       Pelbagai ilmu yang boleh dikembangkan bersama-sama dengan ilmu bahasa dan kemahiran bahasa.

b)    Nilai

-       Penyerapan nilai bertujuan melahirkan insan yang berakhlak mulia, berhemah tinggi dan mempunyai sahsiah yang baik.

-       Boleh diserap melalui rumusan isi pelajaran.

c)    Kewarganegaraan

-       Berkaitan dengan unsur patriotisme.

-       Untuk memupuk semangat cinta dan taat kepada tanahair.

-       Melahirkan warganegara yang sentiasa meletakkan kepentingan utama untuk bangsa dan negara.

d)    Peraturan Sosio budaya

-       Merangkumi kesantunan bahasa, laras bahasa dan peribahasa yang diamalkan dalam masyarakat Malaysia.

-       Bertujuan melahirkan modal insan yang bersopan santun dan berinteraksi dengan bertatasusila dan menggunakan laras bahasa yang sesuai.

    

        4.4  Kemahiran Bernilai Tambah

       a)  Kemahiran Berfikir

 -  Kemahiran berfikir terdiri daripada kemahiran berfikir kritis dan kemahiran  

               berfikir kreatif.   

            - Kemahiran kritis terdiri daripada mencirikan, membandingkan dan   

              membezakan, mengumpul dan mengelaskan, membuat urutan,  

              menganalisis, menilai dan membuat kesimpulan.

            -  Kemahiran Kreatif terdiri daripada menjana idea, menghubung kaitkan,  

              membuat inferens, meramalkan, membuat hipotesis, mensintesiskan,

              mengitlak, mereka cipta.


b)    Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi

          -  Mengajar murid menggunakan komputer.

          -  Murid boleh berkomunikasi melalui internet dengan e-mel, menggunakan    

             pelbagai perisian dan tugas seharian dan mengakses maklumat.


c)    Kemahiran Belajar Cara Belajar

   - Merupakan proses untuk memproleh teknik belajar sama ada bersama guru

     atau tanpa guru.

         - Bertujuan untuk memberi pendedahan tentang teknik dan cara belajar yang  

           betul.

        - Murid menggunakan pengetahuan sedia ada, rakan dan bahan lain sebagai   

          sumber pembelajaran.

        -Teknik merangkumi teknik perbincangan, sumbangsaran, kaedah penyoalan,

          belajar berkumpulan dan sebagainya.

        - Kemahiran ini membantu murid meningkatkan ilmu pengetahuan, cepat dalam  

          tindak tanduk, meningkatkan kemahiran berfikir dan belajar membuat    

          keputusan dan sebagainya.

       - Membolehkan murid mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran ke situasi   

         lain, sama ada dalam mata pelajaran lain dan pergaulan.

 

d)    Kajian Masa Depan

- Kemahiran ini berupaya mendidik murid agar lebih prihatin terhadap isu  

  yang berlaku, sedang berlaku dan yang telah berlaku.

-Murid dilatih meramal apa yang akan berlaku, memikirkan akibat dan

 bersedia menghadapi perubahan supaya mendapat kebaikan daripada  

 kejadian.

       e)  Kecerdasan Pelbagai

- Merangkumi verbal-linguistik, logik matematik, muzik, kinestetik, visual-

  ruang, interpersonal, intrapersonal dan naturalis.

- Setiap murid mempunyai kebolehan dan kecerdasan yang berbeza.

- Guru perlu menyediakan pelbagai aktiviti yang sesuai dengan minat  untuk    

  memperkembangkan potensi murid.

 

       f)  Pembelajaran Konstruktivisme

  -Murid membina pemahaman dan pengetahuan baru berdasarkan

   pengalaman sedia ada murid.

 - Pembelajaran berlaku dalam suasana menyeronokkan kerana murid lebih

   faham tentang tajuk yang diajar kerana mereka sudah ada pengetahuan.

-  Menggalakkan murid bertanya dan berdialog dengan murid dan guru.

-  Menggalakkan proses inkuiri murid melalui kajian dan eksperimen.

-  Menyokong pembelajaran secara koperatif.

-  Mengambil kira sikap dan kepercayaan yang dibawa oleh murid.

        g)  Pembelajaran Kontekstual

  - Pembelajaran yang mengaitkan isi pelajaran dengan pengalaman harian  

    individu, masyarakat dan alam pekerjaan.

  - Menyediakan pembelajaran secara konkrit yang melibatkan aktiviti hands-

    on dan minds-on

  - Belajar dalam konteks menghubungkaitkan pengetahuan baru dengan

    pengalaman hidup.

  - Belajar dalam konteks penerokaan, penemuan dan reka cipta.

  - Belajar dalam konteks bagaimana pengetahuan atau informasi boleh

    digunakan dalam situasi lain.

  - Belajar dalam konteks bekerjasama, memberi maklum balas dan

    berkomunikasi.

  - Belajar dalam konteks pengetahuan sedia ada dan menggunakan atau  

    membina daripada apa yang telah diketahui.

 6.0  PENUTUP 

   Garis panduan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan kandungan utama Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah merupakan elemen penting yang perlu bergerak seiring untuk membentuk satu sistem pendidikan yang menjadi tonggak kejayaan Negara Malaysia.  Kedua-duanya perlu bergerak seiring dan saling melengkapi antara satu sama lain demi memenuhi tuntutan masing-masing.  Golongan pendidik merupakan pemegang amanah negara yang akan menerima dan melaksanakan tugas murni berlandaskan garis panduan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kandungan Sukatan Pelajaran.

   Peranan guru boleh dilihat dan dizahirkan melalui pembentukan modal insan yakni pelapis generasi yang mampu menepati hasrat dan cita-cita FPK.  Generasi yang dimaksudkan ialah yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri dan membantu memberi sumbangan terhadap kemakmuran negara.

   Guru-guru pula dapat merealisasikan kehendak FPK melalui pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu bersandarkan kepada kandungan sukatan pelajaran.  Kemahiran-kemahiran berbahasa yang terkandung dalam sukatan pelajaran jelas dilihat boleh melahirkan modal insan yang menjadi kehendak FPK melalui kebijaksanaan dan ketelitian guru memilih kaedah, teknik dan strategi yang berkesan.

   Penerapan nilai-nilai murni dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa terbukti keberkesanannya apabila lahir generasi yang sempurna dari segi rohani dan jasmani serta emosinya.  Kepelbagaian kemahiran bahasa, pelaksanaan penggabungjalinan, penyerapan, pengayaan, pemulihan, penilaian, pengisian kurikulum dan kemahiran bernilai tambah merupakan input pembelajaran yang penting bagi mencapai hasrat murni FPK yang dapat melahirkan insan yang boleh mendukung aspirasi negara.